6.6 Tahun Kesedihan

Tahun Kesedihan

Pada tahun ke sepuluh selepas Kerasulan, Abu Talib meninggal dunia. Peristiwa ini menyeabkan Rasulullah saw sangat sedih. Bagaimana tidak! Bukankah Abu Talib adalah paman Baginda yang telah menggantikan ayahanda Baginda membesarkannya? Kemudian, Abu Taliblah yang senantiasa berdiri di belakang perjuangannya dan membelanya dari kejahatan kuffar Quraisy. Ketika Abu Talib nazak, Rasulullah saw berada di sisinya. Berita nazaknya Abu Talib diketahui oleh Abu Jahal. Lantas Abu Jahal bergegas mendatangi Abu Talib. Ketika itu Abu Talib masih nazak dan Rasulullah saw sedang membujuk Abu Talib agar beriman.

Baginda berkata, “Wahai pamanku, ucaplah ‘laa ilaha illallahu muhammadurrasulullah’, perkataan yang menyebabkan aku dapat membela kamu di Hari Akhirat nanti.”

Abu Jahal segera menghalang Abu Talib dari mengucap. Abu Jahal berkata, “Demi Allah! Wahai Abu Talib, kalau kamu melafazkannya kami akan mengaibkan kamu selama-lamanya.”

Ketika Abu Talib sedang menghadapi saat terakhir umurnya itupun, Abu Jahal masih mau menghalangnya dari memeluk Islam. Memang dia bergegas datang semata-mata hanya untuk memastikan Abu Talib tidak terpengaruh dengan bujukan Rasulullah saw. Walaupun Rasulullah saw membujuk, tetapi Abu Jahal menghalang. Abu Talib serba salah, apakah dia mau mengucap dua kalimah syahadah atau tidak.

Akhirnya Abu Talib berkata, “Aku takut nanti bangsa Arab akan mengaibkan aku dengan hal ini.”

Abu Talib menghembuskan nafas terakhirnya dalam keadaan tidak sempat mengucapkan syahadah. Inilah yang menyebabkan Rasulullah saw sangat sedih. Baginda tidak berjaya membawa pamannya yang dikasihi masuk Islam. Sebulan selepas kepergian Abu Talib, Sayidatina Siti Khadijah pula kembali ke rahmatullah. Siti Khadijah adalah orang yang paling dekat dengan Rasulullah saw, isteri Baginda yang sangat setia, ibu kepada anak Baginda, orang yang pertama menerima Islam dan orang yang paling banyak membantu perjuangan Rasulullah saw sejak dari detik awal perjuangan Baginda.

Selepas Rasulullah saw menerima wahyu, Baginda telah full time dengan perjuangan. Perjuangan menyeru manusia kepada Tuhan dan memperkenalkan Tuhan kepada manusia demi menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat. Sayidatina Siti Khadijah telah merestui Rasulullah fulltime dengan dakwah. Sebagai salah seorang hartawan Quraisy, dia telah menyerahkan seluruh hartanya kepada Rasulullah saw untuk membiayai perjuangan Baginda. Demikianlah seorang isteri solehah yang dapat mengukuhkan perjuangan suaminya. Di atas pengorbanan ini, tidak heran ketika Siti Khadijah masih hidup, Malaikat Jibril pernah datang kepada Rasulullah saw dan berkata:

“Wahai Muhammad, Allah Taala mengirim salam kepada kamu dan memerintahkan kamu memberi berita gembira kepada Khadijah bahwa Allah menyediakan rumah dari permata untuknya di syurga. Tidak ada gangguan dan keletihan di dalamnya.”

Imam Bukhari dan Imam Muslim ada meriwayatkan sebuah hadis dari Sayidina Ali bahwa Rasulullah saw pernah bersabda:

“Sebaik-baik perempuan pada zamannya adalah Siti Maryam binti Imran dan sebaik-baik perempuan pada zamannya ialah Siti Khadijah binti Khuwailid.”

Berdasarkan dua hadis ini, Sayidatina Siti khadijah adalah salah seorang yang telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT di masa hidupnya. Demikianlah kedudukan wanita ini di sisi Allah dan Rasul-Nya.

Tahun itu telah berlaku kepergian Abu Talib dan setelah itu Sayidatina Siti Khadijah. Wajarlah tahun itu dikenal sebagai ‘Tahun Kesedihan’. Kesedihan ini bertambah lagi bila Rasulullah mengenang sepanjang sepuluh tahun Baginda mengharungi perjuangan mengajak penduduk Mekah kepada Islam. Hanya sedikit saja di kalangan mereka yang beriman. Di Mekah hanya terkumpul 70 orang lelaki bersama Baginda. Ini tidak termasuk mereka yang telah berhijrah ke Habsyah. Namun jumlah mereka tetap masih sedikit jika dibandingkan dengan tempo sepuluh tahun perjuangan Baginda.

Oleh karena itu Rasulullah saw mulai berfikir untuk menyampaikan dakwah kepada orang luar Mekah terutama kepada kabilah yang tidak putus-putus datang ke Mekah. Sedangkan di Mekah, penentangan Kuffar Quraisy terhadap Islam dan Rasulullah saw semakin hebat selepas kematian Abu Talib dan Sayidatina Siti Khadijah.

Rasulullah saw bersabda:

“Penentangan yang dahsyat dari Quraisy ini terhadap peribadiku tidak berlaku sebelum Abu Talib dan Siti Khadijah meninggal dunia.”

Kalau sebelum ini hanya pembesar Quraisy saja yang berani mengganggu Rasulullah saw tetapi setelah kematian Abu Talib dan Sayidatina Siti Khadijah, anak-anak di jalanan pun berani menyakiti Baginda. Bila Rasulullah saw berjalan mereka menabur pasir kepada Baginda. Kemana saja Rasulullah saw pergi, semua orang mencaci dan mengejek Baginda.

 

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Motivasi dan Konsultasi